Dapur Mangkaak,  Resepi

Resepi Asam Pedas Ikan Pari Paling Padu

Asam pedas ikan pari – sebut saja nama lauk ni, dah boleh buat ramai terliur.

Kuah merah menyala, rasa pedas dan masam yang seimbang, ditambah pula dengan kelembutan isi ikan pari yang segar, pastinya kombinasi yang padu!
Tak hairanlah kenapa lauk tradisi ni jadi kegemaran ramai rakyat Malaysia, terutamanya di negeri Melaka dan Johor.

Dalam artikel ini, kami kongsikan resepi lengkap Asam Pedas Ikan Pari yang bukan saja mudah disediakan, tapi sudah tentu sedap hingga menjilat jari.
Ianya sesuai sangat untuk dijadikan menu istimewa hujung minggu atau bila nak jamu tetamu.

Kenapa ikan pari jadi pilihan?

Ikan pari mempunyai tekstur isi yang lembut, tidak terlalu berduri, dan sedap menyerap kuah.
Bila dimasak dalam asam pedas, isi pari jadi lemak berkrim dan terasa segala rempah dalam setiap suapan.

Selain itu, ikan pari juga mudah didapati di pasar atau pasaraya besar dan harganya berpatutan berbanding jenis ikan laut lain.

Tips memilih ikan pari

Gunakan tips ini ketika memilih ikan pari.

  • Pastikan isi ikan pari berwarna cerah dan tidak gelap. (berwarna kemerah-merahan)
  • Tekan badan ikan. Pastikan pejal serta tidak lembik.
  • Hidu baunya, pastikan tidak bebau hancing agar memudahkan proses memasak tanpa runsing untuk memikirkan cara menghilangkan bau.

Cara siang dan potong ikan pari

Walaupun kita boleh meminta bantuan kepada penjual untuk membersihkan serta memotong, kita juga perlu tahu caranya kerana bukan semua pasar menawarkan perkhidmatan ini.

  • Terlangkupkan ikan pari agar tulang belakang kelihatan.
  • Gunakan pisau tajam, potong hujung kepala hingga kebawah. Buat kedua belah. Jarak kiri dan kanan yang dipotong kira-kira 1inci.
  • Buang bahagian tengah yang bertulang berserta perut. Ambil bahagian kiri dan kanan sahaja.
  • Bersihkan dengan air asam jawa agar baunya hancing hilang.

Resepi Asam Pedas Ikan Pari

Berikut adalah bahan dan cara menyediakan resepi ini.

Bahan utama:

  • 3 ketul ikan pari (dibersihkan, lumur dengan asam dan bilas)
  • 1 tangkai daun kesum
  • 2 batang serai (dititik)
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 cawan air asam jawa
  • 3 cawan air (ikut kepekatan kuah yang diingini)
  • 1 biji tomato (belah empat)
  • 1 sudu kecil gula Melaka
  • Garam & perasa secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan kisar:

  • 10 tangkai cili kering (rendam & rebus dahulu)
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup (atau 1/2 sudu kecil serbuk kunyit)
  • 1/2 inci belacan (jika suka aroma yang kuat)

Cara Memasak Asam Pedas Ikan Pari

  1. Tumis bahan kisar dalam minyak hingga pecah minyak dan naik bau. Gunakan api sederhana dan kacau selalu agar tak hangit.
  2. Masukkan serai dan tumis lagi sebentar.
  3. Tambah air asam jawa, air biasa dan asam keping, biar kuah mendidih.
  4. Bila kuah dah mendidih, masukkan ikan pari perlahan-lahan. Jangan terlalu kacau agar isi ikan tak hancur.
  5. Tambah daun kesum, tomato, gula Melaka, garam dan perasa. Masak hingga ikan betul-betul empuk dan kuah sedikit pekat.
  6. Siap! Hidangkan panas-panas bersama nasi putih, telur dadar dan ulam-ulaman – memang padu habis!

Tips Tambahan untuk Asam Pedas yang Lagi Sedap

  1. Gunakan ikan segar: Lagi segar ikan, lagi manis dan sedap kuah asam pedas.
  2. Tambah bendi atau terung: Kalau suka, boleh masukkan bendi atau terung untuk tambah rasa dan tekstur.
  3. Kuah pekat vs cair: Ikut citarasa – kalau suka kuah pekat, kurangkan air. Kalau nak lebih berkuah, tambah air sedikit demi sedikit.
  4. Guna belacan bakar: Memberikan rasa yang lebih ‘umphh‘ dan tradisional.

Variasi Asam Pedas: Tak Hanya Ikan Pari!

Kalau tak ada ikan pari, anda juga boleh gantikan dengan:

  • Ikan tenggiri
  • Ikan merah
  • Ikan kembung
  • Ayam (untuk versi berbeza)
  • Daging tetel (asam pedas daging – juga sangat sedap!)

Khasiat Ikan Pari Dalam Masakan

Ikan pari bukan saja sedap, malah kaya dengan protein, vitamin D dan rendah kalori.
Ianya juga mudah dihadam dan sesuai dimasukkan dalam diet harian.
**Jika dimasak tanpa terlalu banyak minyak dan gula, ia boleh jadi lauk yang sihat!

Oleh itu, asam pedas ikan pari bukan sekadar hidangan biasa, tapi warisan rasa yang penuh nostalgia.
Setiap hirupan kuah dan suapan ikan membangkitkan kenangan makan di rumah nenek atau di warung tepi jalan yang penuh pelanggan.

Jadi, kalau anda tercari-cari lauk yang boleh buat makan bertambah-tambah, cubalah resepi ini. Pasti puas hati!

Jom cuba dan kongsi dengan keluarga. Jangan lupa tag kawan yang suka asam pedas padu ni!

Jika anda menghadapi kekangan masa dalam penyediaan bahan-bahan untuk resepi ini, kami sarankan anda mengunakan ini;

Ianya alternatif lain untuk menjimatkan masa tetapi masih dapat menyediakan hidangan resepi ini untuk seisi keluarga.

Baca Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *